NB Poultry
Langkah pertama pada 1996.
Norliza Enterprise ditubuhkan pada tahun 1996 oleh Encik Baharudin dan Puan Norliza dengan hanya berbekalkan modal simpanan sendiri dan iktikad terhadap industri.
Melihatkan potensi dalam industri pemprosesan poltri ayam, Encik Baharudin berazam memulakan perniagaan sendiri sejurus selepas berkahwin. Dia menamakan Norliza Enterprise, bersempena rakan kongsi yang juga suri hatinya.

Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
Kapasiti harian pada mulanya sebanyak 300 ekor ayam dan 5 orang tenaga pekerja di sebuah premis sewa yang mana kebanyakan proses dilakukan secara manual.
Bersandarkan simpanan sendiri bukanlah mudah terutamanya untuk mengembangkan perniagaan memerlukan kapital yang lebih. Niat untuk berbakti kepada masyarakat menjadi motivasi untuk teguh berdiri. Bagaimanapun, mereka turut tidak melupakan kewajipan zakat, fitrah dan sedekah.
Perniagaan mereka mula mendapat perhatian atas sokongan para pelanggan di sekitar Pekan Nenas, Pontian.
Nama baru, aspirasi baru.
Selepas 10 tahun, pusat penyembelih an ayam baru dibina bagi memenuhi permintaan yang kian bercambah. Kini dikenali sebagai NB Poultry Processing Industries Sdn Bhd, atau NB singkatan untuk Norliza dan Baharudin. Kilang ini lengkap dengan teknologi mesin separa automatik serta kecekapan penyejukan peti dingin beku untuk menyimpan ayam.
Pada tahun 2012, syarikat telah berjaya memperoleh Pensijilan Rumah Sembelihan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Selain itu, syarikat turut memiliki Sijil MESTI yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai bukti pematuhan kepada standard keselamatan dan kebersihan makanan.
Dengan sokongan lebih 300 orang tenaga kerja, syarikat mampu memproses sehingga 40,000 ekor ayam sehari. Kapasiti ini boleh meningkat sehingga dua kali ganda pada musim perayaan bagi memenuhi permintaan pasaran yang tinggi.
Operasi kilang dijalankan 24 jam sehari, memastikan proses penyembelihan dan pemprosesan berjalan lancar tanpa henti.
Bagi memenuhi keperluan logistik dan penghantaran, syarikat memiliki 30 buah lori penghantaran yang dilengkapi sistem pengurusan yang efisien, yang beroperasi secara aktif bagi menghantar produk segar ke seluruh kawasan Johor, Melaka dan Kuala Lumpur.
Visi Kami
- Memimpin dan menerajui pembangunan industri pemprosesan poltri ayam negara di kalangan usahawan Bumiputera.
- Menembusi pasaran eksport untuk memartabatkan industri halal negara.
- Memperluas kepelbagaian produk dan memodenkan kilang ayam (pusat penyembelihan ayam).
Misi Kami
- Menghasilkan produk yang diyakini bersih, segar, suci dan halal untuk rakyat Malaysia.
- Melaksanakan tuntutan Fardhu Khifayah untuk umat Islam sejagat dalam menyediakan ayam berkonsepkan halalan toyyiban.
- Menghasilkan produk yang berkualiti tinggi dan menepati Syariah dengan harga yang berpatutan.


Encik Baharudin bin Ahmad dilahirkan pada 26 September 1971 dan berasal dari Pontian, Johor. Beliau merupakan Pengarah Syarikat Ayam Norliza, dan juga pengasas bersama isterinya, Puan Norliza. Berpendidikan sekolah rendah, Encik Baharudin memulakan kerjaya sebagai staf biasa di sebuah syarikat swasta sebelum mengambil keputusan untuk menceburi bidang perniagaan secara serius.
Dengan pengalaman kerja dan simpanan peribadi sebagai modal permulaan, beliau bersama isteri memulakan perniagaan menjual ayam pada tahun 1996. Bermula dari bawah, beliau telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam membina dan mengembangkan syarikat yang kini memiliki operasi yang merangkumi ladang ternakan, kilang pemprosesan, dan sistem logistik tersendiri.
Sebagai seorang suami kepada Puan Norliza dan bapa kepada dua orang anak, beliau sentiasa menjadikan keluarganya sebagai inspirasi dan sumber kekuatan. Nilai kerja keras, ketekunan, dan niat untuk berbakti kepada masyarakat melalui perniagaan yang berkat menjadi prinsip utama beliau dalam mengemudi Ayam Norliza ke arah kejayaan yang mampan.
Sebagai sebuah syarikat milik penuh Muslim, kami memikul tanggungjawab menunaikan fardu kifayah dalam menyediakan produk yang bersih, segar, suci dan halal kepada pengguna. Kami percaya bahawa setiap aspek pemprosesan makanan mestilah berlandaskan prinsip halalan toyyiban, sejajar dengan tuntutan syarak dan keperluan pengguna Muslim.
Kesemua produk kami disahkan Halal oleh JAKIM, selaras dengan piawaian Standard Halal Malaysia MS 1500:2009. Reka bentuk pusat penyembelihan kami telah dirancang dengan teliti agar menghadap kiblat, dan proses penyembelihan dijalankan pada waktu pagi, mengikut sunnah serta panduan fiqh yang sahih.
Kami telah menerima pengiktirafan halal daripada JAKIM sejak tahun 2012, meliputi keseluruhan rantaian pengeluaran bermula daripada pemilihan bahan mentah, kaedah penyembelihan, pengurusan premis, hinggalah ke penyimpanan akhir produk.
Inisiatif kami tidak hanya sekadar mematuhi keperluan perundangan, tetapi lebih jauh dari itu dan ia sebagai manifestasi tanggungjawab sosial dan agama syarikat ini. Proses pengeluaran kami yang bersifat biologikal dan mesra alam turut membantu dalam meminimumkan kesan terhadap alam sekitar, sejajar dengan prinsip kelestarian.
“Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa); dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.”
Sebagai sebahagian daripada komitmen kami terhadap kelestarian dan tanggungjawab alam sekitar, kilang pemprosesan Ayam Norliza telah melaksanakan sistem solar thermal untuk membekalkan air panas bagi proses sanitasi dan operasi harian.
Penggunaan tenaga boleh diperbaharui ini bukan sahaja mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga tradisional, malah membantu menjimatkan kos utiliti serta mengurangkan pelepasan karbon.
Langkah ini mencerminkan usaha kami untuk menjadi syarikat yang lebih lestari, seiring dengan amalan halalan toyyiban dan standard kebersihan yang tinggi dalam setiap proses kami.
Air buangan daripada semua sektor operasi kilang Ayam Norliza dikumpulkan dalam satu sistem simpanan khas. Sebelum dirawat, air ini melalui proses penapisan awal bagi memisahkan kotoran fizikal dan pepejal terampai. Seterusnya, air akan disalurkan ke dalam beberapa tangki rawatan menggunakan teknologi Sequencing Batch Reactor (SBR).
Sistem SBR ini menggunakan mikroorganisma terpilih yang aktif menyerap sisa organik dalam air, menukarkannya kepada mendapan yang lebih stabil dan mudah diurus. Setiap sesi rawatan mengambil masa antara 6 hingga 8 jam untuk memastikan kualiti rawatan yang optimum.
Air yang telah dirawat hanya akan dilepaskan setelah melepasi piawaian ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Pendekatan ini mencerminkan komitmen Ayam Norliza dalam memelihara alam sekitar dan mematuhi keperluan perundangan berkaitan pengurusan air buangan industri.








